Monday, March 28, 2011

Adakah kecemerlangan akademik memberi kredit untuk para pelajar melakukan apa sahaja termasuk perbuatan maksiat???


MESRA...perhubungan masyarakat mahasiswa perlu terjalin dengan mesra bagi memperkukuhkan perhubungan kemasyarakatan.
MENGIKUT Kamus Dewan, mahasiswa ditakrifkan sebagai penuntut di universiti yang terpilih daripada ribuan calon untuk menjejakkan kaki di menara gading.

Walaupun bukan semua, keberanian golongan itu semakin menjadi-jadi dan dibimbangi jika tidak dibendung lebih awal, ia boleh menjadi parasit kepada pelajar lain.
Justeru, apakah pandangan masyarakat mengenai senario ini? Masih perlukah warga menara gading ini menerima pujian melangit atau harus ‘ditempelak’ supaya sedar daripada mimpi?
Adakah mereka menjadi mangsa keadaan rentetan sikap masyarakat yang suka mendesak, cerewet dan sentiasa mahu menang?

Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia, Prof Abd Rahim Bakar berkata, dalam konteks membuat penilaian atau penarafan terhadap mahasiswa atau masyarakat, kedua-dua pihak perlu meletakkan asas kepercayaan dan bukan mempertikaikan kelemahan atau kelebihan masing-masing.

Menurutnya, sikap suka menunjukkan ‘kebenaran’ dan tidak mahu beralah antara punca konflik masyarakat-mahasiswa sedangkan isunya mungkin kecil dan remeh.
“Apabila dua pihak bertembung dan mahu menegakkan hujah masing-masing, wujudlah masalah yang akhirnya membawa pertelingkahan.

“Hanya kerana tidak mahu beralah, dua pihak yang memerlukan sokongan akan berseteru, akhirnya isu kecil menjadi besar. Alangkah rugi�nya sedangkan masing-masing boleh bersatu meningkatkan kejayaan bersama,” katanya.

Isu masyarakat mempersalahkan mahasiswa dan mahasiswa ‘menolak’ pandangan masyarakat bukanlah baru, namun menjadi ketara akhir-akhir ini kerana pembabitan salah laku golongan di menara gading itu kerap terpampang dalam media massa.

Masyarakat beranggapan mahasiswa hari ini semakin runtuh akhlak manakala mahasiswa pula menjawab, bukan semua terbabit dalam permasalahan itu hingga masyarakat boleh menghukum sewenang-wenangnya. Alasannya, masyarakat turut terbabit dalam gejala serupa tapi lebih suka menyalahkan orang lain.

Mengulas senario saling menuding jari ini, beliau berkata, kedua-dua pihak perlu memahami apakah makna sebenar masyarakat dan mahasiswa sebelum meletakkan sesuatu kesalahan di bahu pihak tertentu.

“Masyarakat kelompok terbesar dan mahasiswa juga sebahagian daripada masyarakat yang berhak untuk bersuara.

“Jika mahasiswa menyalahkan masyarakat, ia umpama menyalahkan diri sendiri. Bagaimanapun, ini bukan lesen masyarakat yang terdiri daripada kelompok bukan mahasiswa menghentam golongan itu sesuka hati.

“Dan, bukan bermakna mahasiswa tidak boleh mengeluarkan pendapat untuk memperbetulkan masyarakat. Masing-masing mempunyai hak asalkan perkara disentuh itu ada asasnya dan bukan sekadar ingin menghangatkan lagi suasana,” katanya.

Mengakui masyarakat hari ini ada bersikap terlebih ‘kepoh’, itu bukan ukuran untuk menghukum keseluruhan institusi, begitu juga tidak adil melabelkan mahasiswa rosak sepenuhnya sedangkan hanya kelompok tertentu saja terbabit dengan salah laku.





Pandangan orang, katanya, selalu merujuk kepada jumlah besar dan tambah memburukkan keadaan apabila ada pihak memperbesarkan semua kejadian bagi menarik perhatian.

“Penafsiran yang salah selalunya mengundang padah dan boleh disalah tafsir. Memang melakukan kesalahan itu individu tapi masyarakat atau mahasiswa tidak melihatnya begitu. Dengan kata lain, yang tidak bersalah juga akan terbabit.

“Sedangkan hanya segelintir perlu menerima hukuman, namun habis semua terpalit lumpur. Sebarang tindakan perlu berlandaskan rasional dan jangan menggunakan alasan logik akal untuk melepaskan diri.

“Konflik perlu dijauhi demi membina keharmonian perhubungan serta kekuatan kerohanian,” katanya.

Pendirian masyarakat juga masih mampu bertahan biarpun sentiasa dikritik, berbanding mahasiswa yang rapuh kerana mereka hanya kelompok kecil.

“Jika masyarakat dihentam, mereka mampu bertahan berbanding mahasiswa. Bagaimanapun, ditegaskan, bukan mahu membela atau menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya cuba memberi gambaran pihak mana lebih ketara menanggung risiko dan pandangan skeptikal.

“Dalam apa juga kejadian, jika pembabitan dimulakan satu pihak, ia tetap salah dan perlu bertanggungjawab atas kesalahan itu. Malangnya, sikap individu suka menyalahkan orang lain tanpa mahu memuhasabah diri menjadikan konflik terus berpanjangan.

“Sentiasa bertoleransi, mendengar pandangan serta teguran dan mahu berubah. Saya percaya jika kedua-duanya boleh berkompromi, hubungan masyarakat-mahasiswa akan harmoni, sekali gus memberi kekuatan kepada negara,” katanya.


Mengikut kajian yang dijalankan Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia, antara faktor terbabit dalam gejala sosial termasuk:



  • Keluarga








  • Kejutan budaya








  • Pengaruh rakan dan persekitaran








  • Kurangnya pendidikan agama








  • Peranan media massa dan teknologi maklumat tanpa sempadan








  • Perasaan ingin tahu dan mencuba

    Antara gejala sosial ‘popular’ termasuk:








  • Seks bebas








  • Pelacuran








  • Jenayah








  • Merempit








  • Pembuangan bayi








  • Dadah
  • 0 comments:

    Post a Comment

    Template by:
    Free Blog Templates