Monday, March 28, 2011

Pentingnya Pendidikan Agama Islam...

GLOBALISASI bukanlah sesuatu yang baru dalam agenda Barat dan Islam. Islam suatu ketika dulu pernah mempengaruhi Barat selama hampir 700 tahun dalam pengembangan ilmu pengetahuan. Sifat alamiah Islam menjadikan agama ini sebagai agama rahmah demi kebaikan seluruh umat manusia. Tetapi bentuk globalisasi yang Barat lakukan terhadap dunia, khususnya umat Islam berlainan sekali. Ia adalah penjajahan bentuk baru yang mana corak kemajuan dan perubahan yang ditawarkan bercorak satu pihak dan melampaui batas budaya, agama, gaya hidup, ekonomi, sosial dan sebagainya yang sekian lama menjadi amalan setempat.

Konsep ‘unilateral’ menjadi tunjang globalisasi tanpa menghargai wujudnya diversiti atau kepelbagaian dan kemajmukan yang akhirnya menjadikan konsep ‘unipola’ sebagai agenda pemaksaan terhadap orang lain.
Meskipun ada aspek menarik yang boleh dikongsi dalam proses globalisasi seperti manfaat pembangunan sistem maklumat dan teknologi komunikasi, umat Islam memerlukan pendekatan proaktif dan strategik. Ini bagi memelihara kepentingan nilai dan agamanya daripada dicairkan oleh faham kebendaan-hedonistik Barat menerusi globalisasi.

Pendekatan integrasi dalam pendidikan sewajarnya dijadikan landasan supaya kecenderungan memanfaatkan faktor berbanding (comparative factors) dari Barat dan Timur tidak sampai menghakis jati diri umat yang sekian lama terbina atas asas pembangunan seimbang. Tanpa kesungguhan menjadikan nilai agama dan murni yang mendukung tamadun sebagai kerangka integrasi, globalisasi adalah suatu gelombang yang bakal merosakkan.

Dalam konteks Malaysia, pendekatan integratif dalam pendidikan Islam harus dirangka dengan rapi dan strategik. Pendidikan Islam masih dalam lingkungan pendidikan asas yang mencakup aspek akidah, ibadat dan akhlak, di samping aspek tilawah, seerah dan fardu ain dengan metodologi yang belum mampu menghasilkan kesan penghayatan tinggi.

Inilah cabaran terbesar dalam proses integrasi ilmu dan pendidikan sebagai benteng mendepani cabaran globalisasi. Gejala negatif sosial remaja yang meningkat pesat adalah gambaran bentuk generasi masa depan yang bakal menjadi liabiliti kepada negara.

Globalisasi yang sedang dihadapi menuntut pembangunan sumber daya berkualiti. Faktor integrasi ilmu dan nilai adalah ubat mujarab untuk menyuburkan kekebalan diri generasi penerus.

Isu integrasi di Malaysia dalam konteks pendidikan Islam harus dilihat dalam konteks pelbagai. Konteks pertama ialah integrasi pendidikan Islam yang didukung oleh sistem aliran perdana dan dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan. Konteks kedua ialah pendidikan Islam yang digerakkan pihak swasta seperti Sekolah Agama Rakyat dan Maahad Tahfiz.

Minat tinggi masyarakat Islam menghantar anak mereka ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Berasrama Penuh Integratif (SBPI) adalah petanda kecenderungan tinggi terhadap pendidikan yang integratif sifatnya. Hal sama juga berlaku terhadap pendidikan swasta yang bentuknya pelbagai.

Isu integrasi juga merujuk corak pembangunan sumber daya manusia sebagai respons terhadap faktor globalisasi. Wujud kecenderungan tinggi dalam sektor swasta, industri dan korporat memberi petunjuk jenis pekerjaan di pasaran. Ia berkait rapat dengan corak kursus atau program yang bakal ditawarkan pihak institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Isu integrasi juga berdepan dengan isu integrasi kaum supaya sistem pendidikan integratif mampu mendekati masalah kemajmukan masyarakat.

Dalam konteks pendidikan Islam, ada dua peringkat yang perlu diberi perhatian. Pertama pada peringkat pendidikan Islam yang dikendalikan pihak di luar sistem formal yang memerlukan tinjauan dan pengukuhan dari sudut kurikulum, metodologi, buku teks, latihan keguruan, proses penilaian, kewangan dan pengurusan.

Kelemahan yang ada perlu diperbaiki segera kerana kita bukan saja ingin memberikan pendidikan asas, malah melahirkan sumber daya insan bermutu yang mampu menghadapi rempuhan globalisasi.

Kajian harus dibuat, apakah sistem pendidikan dua sesi yang menumpu kepada pendidikan agama dan formal cara terbaik untuk menjadikan umat Islam terdidik dengan ilmu, ketrampilan dan sahsiah. Ini kerana dalam beberapa hal apa yang diajar pada waktu pagi diulang kembali pada waktu petang dan begitulah sebaliknya.

Bahagian Kurikulum Pendidikan Islam dan Moral sedang membuat semakan kurikulum Pendidikan Islam pada peringkat Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah. Ia adalah sesuatu yang wajar melihat kepada keberkesanan proses Pengajaran-Pembelajaran (P&P) selama ini serta memikirkan cabaran keilmuan dan teknologi yang dihadapi kini.

Matlamat untuk mengkaji kesan dari segi aplikasi dan penghayatan secara teori dan praktik banyak berhubung mengenai metodologi berkesan. Dalam konteks Pendidikan Islam, peranan pendidik atau murabbi amat penting sama pentingnya dengan kepentingan alat yang meningkatkan kefahaman dan penghayatan. Tanpa kefahaman dan penghayatan, tidak akan lahir nilai murni yang bakal memandu tingkah laku.

Pendekatan yang bersifat portal, modular dan interaktif akan menjadi semakin popular. Ia secara langsung memberikan cabaran kepentingan qudwah sebagai asas pembentuk watak dan tingkah laku. Kalau tidak secara jangka panjangnya P&P akan menjadikan murabbi terpinggir dan kaedah P&P akan lebih bersifat mekanistik dan akhirnya robotik.

Oleh itu, semakan P&P dalam konteks Lajur Bidang Pembelajaran yang mengemukakan pendekatan tiga aras harus menghubung sama dengan pendekatan Muafakat Pendidikan (Collaborative Teaching-Learning). Ini bagi meraikan proses faham dan peningkatan di kalangan yang cerdik, sederhana dan lemah.

Ia boleh diperkukuhkan dengan pendekatan pembelajaran secara kontekstual dan eksperiantial (contextual and experiencial learning).

Perkara asas yang harus diperkembangkan ialah keteguhan nilai yang ada hasil daripada pelaksanaan Pendidikan Islam. Ini membolehkan nilai murni sifatnya merentasi bidang kurikulum dan kokurikulum kepada subjek lain. Perkara ini jika dapat dilakukan akan memberi kesan kepada integrasi yang lebih menyeluruh.

Integrasi yang lebih menyeluruh inilah yang menjadi cabaran terbesar sistem pendidikan kita supaya faktor nilai menjadi asas penting dalam pengembangan faktor akademik, saintifik, vokasional, teknikal dan profesional nanti. Malah, perlu ada cara bijaksana dalam konteks masyarakat majmuk. Pendekatan integratif mampu menjadi landasan membangunkan Malaysia berasaskan acuan kita sendiri iaitu acuan nilai yang mengembangkan ilmu dan pemikiran. Ia juga membantu kekuatan nilai yang sifatnya menyumbang ke arah kemajuan dan pembangunan.

Peringkat kedua ialah tinjauan harus dibuat secara komprehensif dalam sistem pendidikan Islam yang formal. Apakah asas agama yang ditawarkan mampu memberikan kesan penghayatan baik kepada pelajar.

Tumpuan kepada membina asas fardu ain adalah baik. Tetapi, apakah di samping pelajar mempelajari tata cara solat dan sebagainya, falsafah di sebalik ibadat juga diberikan.

Hal sama juga perlu diberi perhatian apabila pelajar diajarkan dengan asas Ulum Syar’iyah yang menyentuh mengenai aqidah, ibadat, sirah, tamadun dan asas akhlak Islamiah yang menyentuh kepentingan adab. Apakah metodologi yang digunakan mampu memberikan kesan penghayatan kepada pelajar.

Perkara ini dibangkitkan kerana banyak asas syariah menyentuh faktor ghaibiah. Memberi faham faktor ghaibiah ini memerlukan pendekatan tersendiri dan artikulatif sifatnya. Ini supaya pendidikan Islam selama 11 tahun itu akan mampu memberikan kekuatan rohaniah dan fikriah kepada pelajar.

Sehubungan itu, sistem formal pendidikan Islam harus memberi ruang kepada pelajar Islam yang ingin mengkhusus dalam bidang seperti syariah, usuluddin, loghah, fiqh serta usul fiqh, ulum al Quran, ulum hadis, di samping subjek kemahiran yang perlu seperti bahasa Inggeris, komputer dan pengurusan. Ia bagi memberi peluang kepada berbakat dan berminat tinggi mendalami dan menguasai bidang khusus dan pakar bagi kepentingan umat Islam masa depan.

1 comments:

ilaniquercia said...

Titanium Keychain - www.titanium-arts.com
Titanium Keychain titanium nose hoop - one titanium hip of the most reliable suppliers for the traditional titanium security steel components! This aftershokz titanium is one ion titanium hair color of the most reputable suppliers

Post a Comment

Template by:
Free Blog Templates