Monday, April 4, 2011

Teknologi semakin pesat diguna pakai dalam bidang pendidikan.





TEKNOLOGI yang semakin canggih dan berkembang menjangkaui pelbagai sektor hari ini turut memberikan manfaat kepada sektor pendidikan seawal peringkat prasekolah dan sekolah rendah.
Sekolah Kebangsaan (SK) Asli Bukit Kemandol yang terletak di Klang, Selangor khususnya, dianggap bertuah menerima manfaat hasil kecanggihan teknologi apabila prestasi akademik pelajar yang juga kanak-kanak Orang Asli dilihat kian meningkat selepas sistem X-Class diperkenalkan.


Sistem yang disumbangkan syarikat pembekal teknologi maklumat, 3F Resources Sdn Bhd itu adalah perisian berbentuk pembelajaran secara visual bagi subjek bahasa Malaysia dan Inggeris.
Sistem berkenaan boleh mempelbagaikan cara pengajaran guru untuk dua subjek berkenaan dengan menggunakan komputer bagi memastikan pelajar tidak mudah bosan.


Guru besarnya, Azmi Kamal Mat Latim, berkata penggunaan sistem terbabit sejak April tahun lalu adalah selaras pelaksanaan Program Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) oleh Kementerian Pelajaran.


Menurutnya, sejak sistem itu dipasang, minat pelajar terhadap dua subjek berkenaan sudah semakin positif malah kedatangan juga meningkat.
"Sebelum sistem ini diperkenalkan, mereka jarang datang walaupun pada hari peperiksaan namun sejak sistem ini dipasang di makmal komputer, perubahan ketara berlaku.


"Ini perkembangan positif dan percaya mereka juga tertarik dengan pembelajaran interaktif itu yang nampak lebih mesra dan menarik," katanya .


Sistem berkenaan mempunyai perisian mengajar cara sebutan dan pembinaan ayat yang tepat dalam bentuk permainan interaktif.


Ia sangat berkesan terutama bagi penguasaan bahasa kerana aplikasi yang digunakan lebih mudah difahami di peringkat sekolah rendah.


SK Asli Bukit Kemandol sebelum ini di bawah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) namun diambil alih Kementerian Pelajaran beberapa tahun lalu. Jumlah pelajarnya 146 orang dengan bilangan guru 15 orang.


Sekolah berkenaan menawarkan pembelajaran peringkat prasekolah hingga darjah enam dan terdiri pelajar Orang Asli yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan.


Azmi Kamal berkata antara kebaikan lain diperoleh adalah memperbaiki perwatakan pelajar yang sebelum ini pemalu menjadi lebih berani malah meningkatkan pencapaian akademik.


Sejak sekolah berkenaan ditubuhkan 20 tahun lalu, belum pernah pelajar memperoleh keputusan cemerlang namun pada tahun lalu, pelajar tahun enam berjaya memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah rendah ( UPSR).


"Ini amat membanggakan guru di sekolah ini kerana SK Asli bukanlah seperti sekolah rendah lain kerana cabaran tinggi. Kami sangat bersyukur sekiranya pelajar datang ke sekolah kerana mereka tidak suka dan kurang minat belajar.


"Justeru apabila ada sesuatu yang boleh menarik minat itu, guru sangat gembira dan berusaha cuba mengekalkan kehadiran dengan bantuan mekanisme yang boleh menarik perhatian mereka. Berdasarkan maklum balas pelajar tidak sabar masuk ke makmal bagi mempelajari dua subjek itu.


"Diharap sistem ini bukan saja mencetuskan minat belajar malah membantu pencapaian akademik dan peningkatan keyakinan diri," katanya.

0 comments:

Post a Comment

Template by:
Free Blog Templates